”MENGGUGURKAN KANDUNGAN ZIKA”

MINDA FAQIH

SIRI 3


 

”MENGGUGURKAN KANDUNGAN ZIKA”

 

PENDAHULUAN

Malaysia telah mengesahkan kes zika pertama apabila seorang wanita dari Bandar Botanik, Klang dijangkiti virus Zika selepas pulang daripada melawat anaknya di Singapura. Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr S Subramaniam, berkata wanita berkenaan berada di Singapura selama tiga hari bermula 19 Ogos 2016 lalu bagi melawat anak perempuannya yang disahkan dijangkiti Zika di Singapura. Selepas pulang dari negara berkenaan, wanita berusia 58 tahun itu mengalami beberapa gejala Zika seperti demam serta ruam di beberapa anggota badan dan mendapatkan rawatan di klinik swasta pada 30 Ogos lalu. Ujian kencing pesakit pada 31 Ogos 2016 mengesahkan ia positif untuk Zika (Berita Harian Online, 1 September 2016).

            Menurut Datuk Dr Noor Hisham Abdullah, Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia, bermula dari 1 September hingga 29 September 2016, terdapat sebanyak tujuh (7) kes yang disahkan positif Zika di seluruh negara. Bagi tempoh sama, pemantauan KKM juga mendapati sebanyak 163 kes yang mempunyai gejala dan tanda-tanda jangkitan Zika telah dilaporkan, namun kesemuanya menunjukkan keputusan ujian yang negatif (Kementerian Kesihatan Malaysia).

 

APA ITU ZIKA?

Penyakit Zika adalah disebabkan oleh virus yang disebarkan terutamanya oleh nyamuk Aedes (World Health Organization).

Penyakit virus Zika disebabkan oleh virus Zika, yang merebak kepada manusia terutamanya melalui gigitan nyamuk yang dijangkiti (Aedes Aegypti dan Aedes Albopictus). Penyakit ini biasanya sederhana dengan gejala berpanjangan sehingga seminggu, dan ramai orang tidak mempunyai gejala atau akan mempunyai gejala yang ringan. Walau bagaimanapun, jangkitan virus Zika semasa hamil boleh menyebabkan kecacatan kelahiran yang serius dipanggil microcephaly[1]  dan lain-lain kecacatan otak yang teruk (Centers for Disease Control and Prevention (CDC)).

Virus Zika adalah flavivirus bawaan nyamuk yang pertama kali dikenalpasti di Uganda pada tahun 1947 di kalangan monyet melalui satu rangkaian yang memantau demam kuning. Ia kemudiannya dikenal pasti wujud pada manusia pada tahun 1952 di Uganda dan Tanzania. Wabak penyakit virus Zika telah direkodkan di Afrika, Amerika, Asia dan Pasifik. Daripada 1960-an hingga 1980-an, jangkitan kepada manusia ditemui di seluruh Afrika dan Asia, biasanya diiringi oleh sakit ringan. Wabak besar pertama penyakit yang disebabkan oleh jangkitan Zika dilaporkan di Pulau Yap (Negara Persekutuan Micronesia) pada tahun 2007. Pada bulan Julai 2015, Brazil melaporkan kaitan antara jangkitan virus Zika dan sindrom Guillain-Barre[2]. Pada bulan Oktober 2015 pula, Brazil melaporkan kaitan antara jangkitan virus Zika dan microcephaly (World Health Organization).

Zika boleh dipindahkan daripada seorang wanita hamil kepada janin itu. Jangkitan semasa hamil boleh menyebabkan kecacatan kelahiran tertentu (Centers for Disease Control and Prevention (CDC)).

Tanda-tanda yang paling biasa penyakit virus Zika adalah demam, ruam, sakit sendi, dan mata merah. Gejala lain termasuk sakit otot dan sakit kepala. Ramai orang dijangkiti Zika tidak akan mempunyai gejala atau akan mempunyai gejala ringan, yang boleh bertahan selama beberapa hari hingga seminggu (Centers for Disease Control and Prevention (CDC)).

Tempoh pengeraman (masa yang terdedah kepada gejala-gejala) penyakit virus Zika tidak jelas, tetapi mungkin beberapa hari. Tanda-tanda adalah sama dengan jangkitan Arbovirus lain seperti denggi, termasuk demam, ruam kulit, konjunktivitis, sakit otot dan sendi, kelesuan, dan sakit kepala. Gejala-gejala ini biasanya ringan dan berlaku 2-7 hari (World Health Organization).

 

PANDANGAN MAZHAB DAN INSTITUSI FATWA TENTANG PENGGUGURAN JANIN

Isu pengguguran janin telah dibincangkan oleh ulama Islam secara jelas. Perbincangan mencakupi sebab-sebab pengguguran dan waktu pengguguran. Dua elemen inilah yang memainkan peranan penting dalam penetapan hukum pengguguran janin.

Sebab-sebab pengguguran dibahagikan kepada tiga (3) sebab:

        i.            Keguguran biasa (tabiciyy).

     ii.            Keguguran dengan pilihan (ikhtiyariyy).

   iii.            Keguguran kerana keperluan (daruriyy) (Sulayman, 2011).

 

Waktu pengguguran pula dibahagikan kepada dua (2) bahagian:

        i.            Pengguguran sebelum ditiupkan ruh.

   iv.            Pengguguran setelah ditiupkan ruh (Sulayman, 2011).

 

i. Pengguguran Sebelum Ditiupkan Ruh

Terdapat perbezaan pandangan para ulama dalam kes pengguguran janin sebelum ditiupkan ruh.

 

a. Pandangan Ulama Shaficiyy

Haram: Pandangan imam al-Ghazaliyy:

وَلَيْسَ هَذَا كَالإِجْهَاضِ وَالوَأْدِ، لأَنَّ ذَلِكَ جِنَايَةٌ عَلى مَوْجُود حاصل، وَلَهُ مَرَاتِبُ، وَأَوَّلُ مَرَاتِبِ الوُجُوْدِ أَنْ تَقَعَ النُطْفَةُ فِي الرَّحِمِ، وَتَخْتَلِطُ بِمَاءِ المَرْأَةِ، وَتَسْتَعِدُّ لِقَبُوْلِ الحَيَاةِ، وَإِفْسَادِ ذلك جِنَايَةٌ

Maksudnya, “Tidaklah cazal (mengeluarkan mani di luar faraj) itu seperti menggugurkan dan al-wa’du (menanam anak perempuan hidup-hidup). Ini kerana perbuatan itu (pengguguran dan al-wa’du) adalah suatu jenayah ke atas benda yang terhasil. Ia mempunyai beberapa tingkatan dan tingkatan wujud yang awal ialah sperma (al-nutfah)masuk ke dalam rahim wanita dan bercampur dengan air (ovum) wanita dan ia bersedia untuk menerima kehidupan. Membinasakannya adalah suatu jenayah” (al-Ghazaliyy, 2000).

 

Harus pada peringkat sperma (al-nutfah) dan darah beku (al-calaqah), dan haram menggugurkan selain daripada dua (2) peringkat ini: Pandangan imam al-Qurafiyy:

ويَتَّجِهُ أَبُوْ بَكْرِ بْنُ أَبِيْ سَعِيْد القُرَافِي إِلى جَوَازِ الِإسْقَاطِ فِي فَتْرَتَيْ النُطْفَةِ وَالعَلَقَةِ، أيْ قَبْلَ التخْلِيْقِ فِي مَرْحَلَةِ المُضْغَةِ.

Maksudnya, “Abu Bakar bin Abi Said al-Qurafiyy berpandangan harus menggugurkan janin pada peringkat sperma (al-nutfah) dan darah beku (al-calaqah), iaitu sebelum penciptaan pada peringkat seketul daging (al-mudghah)”(Sulayman, 2011).

 

Harus: Pendapat rajih mazhab.

وَالراجِحُ تَحْرِيْمُهُ بَعْدَ نفخِ الروْحِ مُطْلَقًا وَجَوَازُهُ قبله.

Maksudnya, “Pendapat yang rajih adalah haram menggugurkan janin selepas ditiupkan ruh. Adapun sebelumnya adalah harus (al-Ramliyy, 2009).

 

b. Pandangan Ulama Hanafiyy

Haram: Pandangan Ibn Wahban:

قَالَ ابْنُ وَهْبَان: فَإِبَاحَةُ الإِسْقَاطِ مَحْمُوْلَةٌ عَلى حَالَةِ العُذْرِ

Maksudnya, “Berkata Ibnu Wahban: Keharusan menggugurkan janin (sebelum ditiupkan ruh) itu adalah kerana keuzuran (Ibn cAbidin, 2011).

 

Harus hanya kerana alasan uzur, tanpa mensyaratkan darurat, dengan syarat mendapat persetujuan antara suami dan isteri, dan ini merupakan pendapat masyhur mazhab Hanafiyy:

هل يُبَاحُ الإِسْقَاطُ بَعْدَ الحملِ؟ نعم، يُبَاحُ مَا لَمْ يتخلق منه شيءٌ، وَلَنْ يَكُنْ ذَلِكَ إِلَّا بَعْدَ مائَةٍ وَعشْرِيْنَ يَوْمًا، وَهَذَا يَقْتَضِي أَنَّهُمْ أَرَادُوْا بِالتَخْلِيْقِ نَفْخَ الرُوْح

Maksudnya, “Adakah dibenarkan menggugurkan kandungan setelah kehamilan? Ya, diharuskan selama belum terbentuk/tercipta sesuatu daripadanya. Penciptaan itu belum berlaku kecuali selepas 120 hari, dan yang dimaksudkan oleh ulama daripada perkataan “takhlik”(penciptaan) itu ialah tiupan ruh (Ibn cAbidin, 2011).

 

c. Pandangan Ulama Malikiyy

Haram: Walaupun sebelum 40 hari dan ini merupakan pandangan jumhur ulama Malikiyy.

وَلاَ يَجُوْزُ إِخْرَاجُ الَمِنِّي المُتَكَوِّنِ فِي الرَّحِمِ وَلَوْ قَبْلَ الأَرْبَعِيْنَ يَوْمًا وَإِذَا نُفِخَتْ فِيْهِ الرُّوْحُ حَرُمَ إِجْمَاعًا

Maksudnya, “Tidak harus mengeluarkan mani yang terbentuk dalam rahim, walaupun sebelum 40 hari. Apabila telah ditiupkan ruh padanya maka ia (penguguran) adalah haram secara ijmak (al-Dasuqiyy, 1287H) .

 

Terdapat perbezaan pandangan ulama Malikiyy bagi janin yang berusia sebelum 40 hari. Ada yang menyatakan makruh dan ada yang berpandangan harus (Yasin, Muhammad Nacim, 2008).

 

 

d. Pandangan Ulama Hanbaliyy

Harus menggugurkan janin sebelum ditiupkan ruh.

أَنَّهُ يَجُوْزُ إِسْقَاطُهُ قَبْلَ أَنْ ينفخ فيه الرُوْحُ قال: وله وَجْهٌ.

Maksudnya, “Sesungguhnya harus menggugurkan janin sebelum ditiupkan ruh, berkata Ibnu cAqil: Baginya wajah (pandangan)” (al-Mardawiyy, 1977).

 

Harus menggugurkan janin sebelum 40 hari, dan tidak diharuskan selepasnya.

صَرَّحَ أَصْحَابُنَا بِأَنَّهُ إِذَا صَارَ الوَلَدُ عَلَقَةً لَمْ يَجُزْ للمَرْأَةِ إِسْقَاطُهُ.

Maksudnya, “Ulama kami berpandangan apabila dia telah menjadi darah beku (calaqah),  tidak harus bagi wanita itu menggugurkan janin”(Ibn Rajab al-Hanbaliyy, 2001).

 

Pandangan Fatwa Semasa

a. Pandangan Majmac al-Fiqh al-Islamiyy

Harus menggugurkan kandungan sebelum 120 hari. Jika tidak digugurkan akan menyebabkan anak itu mengalami kehidupan yang sukar, menyulitkan ahli keluarganya, dan kesakitan berterusan. Pengguguran ini haruslah dengan keizinan kedua pasangan dan diperakui oleh pakar perubatan (al-Qurrah Daghiyy & al-Muhammadiyy, 2005).

 

b. Pandangan Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan

Makruh menggugurkan janin yang berumur antara satu hari hingga 40 hari sekiranya tidak mendatangkan bahaya kepada ibu dan mendapat persetujuan kedua-dua suami isteri. Pengguguran janin yang berumur sebelum 120 hari adalah harus sekiranya janin itu cacat dan berpenyakit yang boleh membahayakan nyawa ibu (Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Kali Ke-52).

 

 

ii. Pengguguran Setelah Ditiupkan Ruh

Fuqaha sepakat mengharamkan pengguguran janin setelah ditiupkan ruh (Yasin, Muhammad Nacim, 2008). Manakala al-Qurrah Daghiyy & al-Muhammadiyy (2005) mengatakan bahawa pengguguran dibenarkan jika boleh mengancam nyawa ibu walaupun selepas ditiupkan ruh.

 

Pandangan Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan

Pengguguran janin yang telah berumur 120 hari atau lebih adalah haram kerana pengguguran itu dianggap satu jenayah ke atas janin yang telah ditiupkan roh kecuali pengguguran itu untuk menyelamatkan nyawa ibu atas sebab kecacatan yang teruk (Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Kali Ke-52).

 

PENGGUGURAN JANIN AKIBAT ZIKA

World Health Organization (2016) melaporkan bahawa wujudnya kesepakatan (konsensus) saintifik tentang kaitan virus zika dengan microcephalyiaitukecacatan kelahiran di mana kepala bayi adalah lebih kecil daripada yang dijangkakan berbanding jantina dan umur bayi yang sama. Bayi dengan microcephaly sering mempunyai otak yang lebih kecil yang mungkin tidak boleh dibangunkan dengan baik.

Persoalan yang timbul di sini, adakah wanita hamil yang dijangkiti virus Zika boleh menggugurkan kandungannya? Memandangkan ia adalah isu kontemporari, tidak banyak fatwa atau pandangan hukum tentang boleh atau tidak menggugurkan kandungan yang dijangkiti virus Zika. Antara fatwa atau pandangan berkenaan isu ini, antaranya ialah:

 

Fatwa Dar al-Ifta’ al-Misriyyah

Pada 14 Mac 2016, Dar al-Ifta’ al-Misriyyah telah mengeluarkan satu fatwa berhubung hukum menggugurkan janin bagi wanita yang dijangkiti virus Zika. Fatwa ini telah dikeluarkan sebagai respon kepada seruan daripada Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi melonggarkan syarat-syarat bagi membolehkan pengguguran khususnya bagi kes wanita yang disahkan dijangkiti virus Zika:

إن الأم الحامل المصابة بفيروس "زيكا" لا تخلو من حالتين، الأولى: أن يكون عمر الجنين أقل من مائة وعشرين يومًا، ففى هذه الحالة إذا كان الأطباء والمختصون يعدون آثار فيروس "زيكا" على الأم والجنين، عذرًا يستوجب الإجهاض بما يحدثه من تشوهات ومضاعفات، فإنه يجوز شرعًا إجهاض حملها. أما فى الحالة الثانية أنه إذا بلغ عمر الجنين مائة وعشرين يومًا، فإنه لا يجوز الإجهاض إلا إذا كان فى استمرار الحمل خطر على حياة الأم أو صحتها، وذلك ارتكابًا لأخف الضررين لدفع أعلاهما، وتقديمًا لحياة الأم المستقرة على حياة الجنين غير المستقرة.

Maksudnya, “Ibu mengandung yang dijangkiti virus Zika ada dua situasi; Yang pertama: umur janin tersebut kurang daripada seratus dua puluh hari. Dalam situasi ini, sekiranya pakar perubatan menganggap kesan virus Zika ke atas ibu dan janin sebagai keuzuran yang boleh mewajibkan pengguguran disebabkan keabnormalan dan komplikasi, maka harus menggugurkan kandungan itu di sisi Syarak. Situasi kedua: apabila umur janin telah sampai seratus dua puluh hari, maka tidak dibenarkan menggugurkan kandungan kecuali jika ada bahaya ke atas nyawa si ibu atau kesihatannya sekiranya diteruskan kandungan itu. Ini termasuk dalam mengambil yang paling ringan antara dua kemudaratan dengan menolak mudarat yang paling besar dan mendahulukan nyawa si ibu yang sudah pasti berbanding nyawa janin yang belum pasti” (Dar al-Ifta’ al-Misriyyah, 2016 & Misr al-cArabiyyah, 2016).

 

Bayan Linnas Siri 68, Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan

Berikut adalah pandangan S.S. Datuk Dr. Zulkifli bin Mohamad Al-Bakri, Mufti Wilayah Persekutuan dalam siri Bayan Linnas:

Dalam meneliti isu dalam dunia perubatan dunia moden berkaitan pengguguran janin, terdapat satu pandangan yang dinyatakan oleh Dr. Hassan al-Jizani berhubung pengguguran janin yang menghidap thalassemia. Kami ringkaskan dalam dua noktah penting yang wajar difahami.

  • Sebelum 120 hari.

BOLEH digugurkan janin jika kekal hidup akan membawa kesusahan, kesedihan dan penderitaan terhadap keluarga dan ahlinya. Ketika itu, harus menggugurkan janin mengikut kehendak kedua ibu bapanya.

  • Selepas 120 hari

TIDAK BOLEH digugurkan janin kecuali sekiranya janin ditimpa komplikasi atau sebarang penyakit seperti thalassemia dan telah diperakukan oleh pakar perubatan yang diyakini ketika itu. Keputusan ini adalah selari dengan keputusan Majma’ al-Fiqh al-Islami yang bersidang di Makkah al-Mukarramah pada 10 Februari 1990. Para ulama’ yang bersidang pada ketika itu juga memberi nasihat kepada pakar perubatan dan para ibu bapa agar bertakwa kepada Allah dan cuba menerima ujian ini dengan tabah seupaya mungkin. Maka, jika didapati janin tersebut mengalami bahaya yang tidak mungkin boleh dirawat, anak itu lahir dengan penyakit yang kekal, memberi kesan yang bermasalah dalam kehidupannya serta membebankan kepada keluarganya, maka ketika itu BOLEH digugurkan mengikut kehendak kedua ibu bapa.

NOTA PENTING: Kami lebih cenderung kepada pendapat Majma’ Fiqh Islami berkenaan penyakit thalassemia yang boleh diqiyaskan bagi isu virus Zika ini, jika sekiranya dapatan kajian dari pakar perubatan yang diyakini menunjukkan bahawa janin yang dijangkiti virus Zika boleh mengundang pelbagai bentuk kecacatan sehingga memudaratkan kehidupan keluarga serta bayi itu sendiri. Dalam keadaan seperti itu, persetujuan daripada kedua ibu bapa yang diberi kefahaman yang jelas bolehlah diambil kira untuk pelaksanaan pengguguran janin itu”.

 

Ulasan

Setelah meneliti pandangan daripada dua institusi fatwa di atas berkenaan, penulis mendapati bahawa kedua-dua institusi fatwa sepakat bahawa kandungan yang dijangkiti virus Zika atau cacat, boleh digugurkan sekiranya kandungan di bawah 120 hari. Manakala sekiranya kandungan lebih 120 hari, kandungan tidak boleh digugurkan secara umumnya kecuali membahayakan nyawa atau kesihatan si ibu.

             Namun, S.S. Datuk Dr. Zulkifli bin Mohamad Al-Bakri, Mufti Wilayah Persekutuan mempunyai pandangan berbeza apabila beliau berpendapat walaupun selepas 120 hari, boleh menggugurkan kandungan yang mengalami bahaya yang tidak mungkin boleh dirawat, atau anak itu lahir dengan penyakit yang kekal, atau memberi kesan yang bermasalah dalam kehidupannya serta membebankan kepada keluarganya, dengan syarat mendapat persetujuan kedua ibu bapa. Beliau merujuk kepada pandangan hukum atau fatwa “Majma’ al-Fiqh al-Islamiyy” berkenaan menggugurkan kandungan yang cacat dan meng”qiyas”kannya dengan isu Zika.

            Setelah membuat penelitian terhadap pandangan hukum atau fatwa yang dirujuk oleh S.S. Datuk Dr. Zulkifli bin Mohamad Al-Bakri, Mufti Wilayah Persekutuan, penulis mendapati terdapat salah faham terhadap teks pandangan hukum atau fatwa tersebut. Bahkan institusi yang dikatakan mengeluarkan fatwa tersebut bukanlah “Majmac al-Fiqh al-Islamiyy”, tetapi al-Majmac al-Fiqhiyy al-Islamiyy” di bawah kendalian Rabitah al-cAlam al-Islamiyy yang berpusat di Mekah. Manakala Majmac al-Fiqh al-Islamiyy al-Duwaliyy” terletak di Jeddah dan kedua-duanya adalah institusi yang berlainan.

             Berikut, penulis membawakan teks fatwa al-Majmac al-Fiqhiyy al-Islamiyy” berkenaan pengguguran kandungan cacat sebelum dan selepas 120 hari:

وقد قرر المجمع الفقهي الإسلامي التابع لرابطة العالم الإسلامي في دورته الثانية عشرة المنعقدة بمكة المكرمة في الفترة من 15 رجب سنة 1410هـ الموافق 10/2/1990م ما يلي :

إذا كان الحمل قد بلغ مائة وعشرين يوماً، لا يجوز إسقاطه، ولو كان التشخيص الطبي يفيد أنه مشوه الخلقة: إلا إذا ثبت بتقرير لجنة طبية، من الأطباء الثقات المختصين، أن بقاء الحمل، فيه خطر مؤكد على حياة الأم، فعندئذ يجوز إسقاطه، سواء كان مشوهاً أم لا، دفعاً لأعظم الضررين. قبل مرور مائة وعشرين يوماً على الحمل، إذا ثبت وتأكد بتقرير لجنة طبية من الأطباء المختصين الثقات - وبناء على الفحوص الفنية، بالأجهزة والوسائل المختبرية - أن الجنين مشوه تشويهاً خطيراً، غير قابل للعلاج، وأنه إذا بقي وولد في موعده، ستكون حياته سيئة، وآلاماً عليه وعلى أهله، فعندئذ يجوز إسقاطه بناء على طلب الوالدين، والمجلس إذ يقرر ذلك: يوصي الأطباء والوالدين، بتقوى الله، والتثبت في هذا الأمر

Maksudnya, “Sekiranya kandungan telah sampai 120 hari, maka tidak boleh menggugurkannya walaupun rawatan perubatan mendapatinya cacat, kecualilah terdapat akuan jawatankuasa perubatan yang terdiri daripada doktor-doktor pakar yang dipercayai, bahawa dengan mengekalkan kandungan itu terdapat bahaya yang pasti terhadap nyawa si ibu. Ketika itu diharuskan menggugurkan kandungan, sama ada ia cacat atau tidak, demi menghindari salah satu kemudaratan yang besar. Adapun kandungan sebelum 120 hari, jika terdapat akuan jawatankuasa perubatan yang terdiri daripada doktor-doktor pakar yang dipercayai, serta berdasarkan rawatan teknikal dengan alatan dan cara-cara yang diujikaji, bahawa janin itu cacat teruk lagi berbahaya, yang tidak dapat menerima rawatan, serta sekiranya ia dikekalkan dan lahir pada waktunya, hidupnya akan teruk, membawa kesakitan ke atasnya dan keluarganya, maka ketika itu diharuskan menggugurkan kandungan tersebut atas permintaan kedua ibu bapa. Majlis Fatwa dalam pada itu menasihatkan para ibu bapa dam doktor agar bertaqwa kepada Allah dan bersabar dalam hal ini” (al-Majmac al-Fiqhiyy al-Islamiyy).

 

            Daripada fatwa ini, al-Majmac al-Fiqhiyy al-Islamiyy juga tidak membenarkan pengguran kandungan bermasalah selepas 120 hari seperti fatwa Dar al-Ifta’ al-Misriyyah, walaupun kandungan telah dikenal pasti ia cacat oleh pakar perubatan. Perkara ini turut disokong oleh fatwa Prof. Dr. cAliyy Jumcah Muhammad yang dikeluarkan oleh Dar al-Ifta’ al-Misriyyah:

اتفق الفقهاء على أنه إذا بلغ عمر الجنين في بطن أمه مائة وعشرين يومًا وهي مدة نفخ الروح فيه فإنه لا يجوز إسقاط الجنين ويحرم الإجهاض قطعًا في هذه الحالة؛ لأنه يعتبر قتلًا للنفس التي حرَّم الله قتلها إلا بالحق؛ لقوله تعالى: ﴿وَلَا تَقْتُلُوا أَوْلَادَكُمْ مِنْ إِمْلَاقٍ نَحْنُ نَرْزُقُكُمْ وَإِيَّاهُمْ﴾ [الأنعام: 151]، ولقوله تعالى: ﴿وَلَا تَقْتُلُوا النَّفْسَ الَّتِي حَرَّمَ اللهُ إِلَّا بِالْحَقِّ﴾ الإسراء: 33.

أما إذا لم يبلغ عمر الجنين في بطن أمه مائة وعشرين يومًا فقد اختلف الفقهاء في حكم الإجهاض: فبعضهم قال بالحرمة؛ وهو المعتمد عند المالكية والظاهرية، وبعضهم قال بالكراهة مطلقًا؛ وهو رأي بعض المالكية، وبعضهم قال بالإباحة عند وجود العذر؛ وهو رأي بعض الأحناف والشافعية. والراجح والمختار للفتوى في ذلك أنه يحرم الإجهاض مطلقًا سواء قبل نفخ الروح أو بعده إلا لضرورة شرعية.

وفي واقعة السؤال وبناء على ما سبق: فإنه لا يجوز التخلص من الجنين وإجهاضه، اللَّهم إلا إذا قرر الطبيب العدل الثقة أن بقاء الجنين في بطن أمه فيه خطر على حياتها، أو أن ذلك سيؤدي إلى استئصال رحمها أو إصابتها بعجز دائم أو داء عُضال.

أما وجود التشوهات الخلقية بالجنين فليست مبررًا للإجهاض، وحُرمة الجنين الحي داخل رحم أمه تعادل حرمة الطفل المولود الموجود بين أيدينا في هذه الحياة؛ فكلٌّ منهما حيٌّ، وكلٌّ منهما يتنفس ويتحرك ويتغذى، وكما يحرم التخلص من حياة الطفل المعوَّق أو المشوه فكذلك يحرم التخلص من حياة الجنين الذي أثبت الفحص الطبي تشوهه، وكذلك فإن قلة احتمالات تمام الولادة بطريقة طبيعية ليست مبررًا وحدها للإجهاض؛ لأنه يمكن عمل الولادة بالطريقة الجراحية، وإنما النظر هنا في تعارض حياته مع حياة الأم، أو الخطر الشديد منه على صحتها مع الجزم بعدم بقائه حيًّا، فهنا تطبق القاعدة الشرعية: وجوب دفع الضرر الأكبر بضرر أصغر

Maksudnya, “Fuqaha telah sepakat apabila janin dalam kandungan ibu telah sampai 120 hari, iaitu tempoh tiupan ruh padanya, maka tidak harus digugurkan dan haram melakukan pengguguran dalam hal ini. Ini kerana ia dianggap membunuh jiwa yang diharamkan oleh Allah untuk membunuhnya kecuali dengan kebenaran, berdasarkan firman Allah yang bermaksud, “dan janganlah membunuh anak-anak kamu kerana kemiskinan. Kamilah yang memberi rezeki kepada mereka dan kepada kamu” (al-Ancam: 15), dan berdasarkan firman Allah yang bermaksud, “dan janganlah membunuh jiwa yang diharamkan oleh Allah kecuali dengan kebenaran” (al-Isra’: 33). Adapun sekiranya umur janin belum sampai 120 hari dalam kandungan, fuqaha berselisih pendapat tentang hukum penggugurannya. Sebahagian mereka mengatakan haram dan ia pandangan muktamad di sisi ulama Malikiyy dan Zahiriyy. Sebahagian mereka mengatakan makruh semata-mata dan ia pandangan sebahagian ulama Malikiyy. Sebahagian mereka mengatakan harus ketika adanya keuzuran dan ia pandangan sebahagian ulama Hanafiyy dan Shaficiyy. Pandangan yang rajih dan dipilih bagi fatwa dalam hal ini ialah diharamkan pengguguran semata-mata sama ada sebelum atau selepas ditiup ruh kecuali ada darurat syarie. Mengikut keadaan soalan dan berdasarkan apa yang disebutkan, tidak harus membunuh atau menggugurkan janin, kecualilah doktor yang adil dan dipercayai memperakukan bahawa dengan mengekalkan janin dalam kandungan ibu akan akan ada bahaya ke atas nyawanya (si ibu), atau ia menyebabkan histerektomi atau kecederaan kekal atau penyakit yang tidak boleh diubati. Adapun wujudnya kecacatan penciptaan pada janin bukanlah alasan untuk pengguguran. Kehormatan janin yang hidup dalam rahim si ibu menyamai kehormatan anak yang hidup di kalangan kita dalam kehidupan ini. Kedua-duanya adalah hidup dan kedua-duanya bernafas, bergerak dan makan. Seperti mana haram membunuh kehidupan anak yang cacat, begitulah juga haram membunuh kehidupan janin yang diakui kecacatannya oleh rawatan perubatan. Begitu juga kurangnya kemungkinan kelahiran yang sempurna dengan cara normal bukanlah alasan untuk pengguguran semata-mata kerana mungkin boleh melakukan kelahiran melalui pembedahan. Penelitian di sini ialah pertembungan nyawanya (janin) dengan nyawa si ibu atau bahaya besar daripadanya ke atas kesihatan si ibu dalam keadaan yakin bahawa ia tidak akan hidup. Maka di sini diaplikasikan kaedah fiqh: wajib menolak kemudaratan besar dengan melakukan kemudaratan kecil”.

 

Ini turut diakui oleh Dr. Maizatul Azma binti Masri (2016), Pakar Obstetrics dan Gynecology (OnG), Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan (FPSK), Universiti Sains Islam Malaysia bahawa kandungan yang dijangkiti Zika ada peluang untuk hidup. Menurut beliau lagi, Zika bukanlah penyebab secara langsung kepada kecacatan janin tapi terdapat kajian yang mengatakan ada kaitan antara keduanya. Ini kerana sekiranya si ibu dijangkiti zika, belum tentu janin akan mengalami kecacatan. Beliau lebih selesa kalau kandungan yang lebih 120 hari untuk tidak dibenarkan penggguran kerana masih ada peluang untuk hidup, apatah lagi kandungan yang makin besar lagi berisiko untuk pengguguran. Dalam isu Zika, menurut Dr. Maizatul lagi, perakuan pakar perubatan yang tepat perlu dilakukan kerana jika tidak dapat dipastikan sama ada kandungan itu cacat atau tidak, maka berat juga untuk dikatakan boleh digugurkan kandungan itu.

 

SYOR INFAD

Setelah pembentangan fakta dan pandangan ulama serta institusi fatwa antarabangsa dan tempatan, berkenaan isu menggugurkan kandungan yang dijangkiti virus Zika, Institut Pengurusan dan Penyelidikan Fatwa Sedunia (INFAD), Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) ingin membuat syor berikut:

  1. Keputusan menggugurkan kandungan yang dijangkiti virus Zika sama ada boleh atau tidak dilakukan hendaklah merujuk kepada pakar perubatan.
  2. Harus mengggugurkan kandungan yang dijangkiti virus Zika yang kurang daripada 120 hari setelah mendapat pengesahan pakar perubatan.
  3. Kandungan yang telah melebihi 120 hari adalah haram digugurkan kecuali pakar perubatan mengesahkan kandungan yang dijangkiti virus Zika itu membahayakan nyawa si ibu.
  4. Pengguguran kandungan yang dijangkiti virus Zika yang lebih daripada 120 hari dan membahayakan nyawa si ibu juga perlu mendapatkan pengesahan pakar perubatan.
  5. Pakar perubatan yang menasihati kandungan yang dijangkiti virus Zika agar digugurkan sama ada sebelum atau selepas 120 hari (kerana membahayakan nyawa si ibu), tidak dianggap berdosa seandainya anak itu lahir dalam keadaan normal. Hal ini kerana pakar perubatan tersebut telah “membuat keputusan” berdasarkan ilmu dan pengalaman beliau.
  6. Kajian komprehensif dan terperinci yang melibatkan pakar syariah dan pakar perubatan perlu dibuat mengenai mengggugurkan kandungan yang dijangkiti virus Zika untuk menghasilkan satu pandangan hukum yang mantap.

 

 

 

 

 

Nota Penting:

Tulisan ini bukanlah fatwa rasmi tetapi ia sekadar pandangan awal akademik Institut Pengurusan dan Penyelidikan Fatwa Sedunia (INFAD), Universiti Sains Islam Malaysia (USIM). Untuk keputusan atau fatwa rasmi, sila rujuk Jabatan Mufti negeri-negeri atau Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM).

 


 

RUJUKAN

al-Ghazaliyy, Muhammad bin Muhammad. 2000. Ihya’ Ulum al-Din. Kaherah: Dar aL-Taqwa. m/s 72.

al-Mardawiyy, cAla’ al-Din Abu Hasan cAliyy bin Sulayman bin Ahmad. 1977. Al-Insaf. Beirut: Dar Kutub al-cIlmiyyah.

al-Ramliyy, Muhammad bin Muhammad. 2009. Nihayat al-Muhtaj Ila Sharh al-Minhaj. Jilid 6. Lubnan: Dar Kutub al-Ilmiah.

Ibn Rajab al-Hanbaliyy. 2001. Jamic al-cUlum Wa al-Hikam. T.tp: tpt.

Ibn cAbidin, Muhammad Amin. 2011. Hashiyah Radd al-Mukhtar. Jilid 4. Beirut: Dar Kutub al-cIlmiyyah.

al-Dasuqiyy, Muhammad. 1287H. Hashiyah al-Dasuqiyy cAla al-Sharh al-Kabir. Jilid 8. T.tp: t.pt.

Sulayman bin Fahd. 2011. Isqat al-Haml Wa Atharuhu Fi al-Fiqh al-Islamiyy. Riyad: Maktabah Malik Fahd.

Yasin, Muhammad Nacim. 2008. Abhas Fiqhiyyah Fi Qadaya Tibbiyyah Mucasirah. Jordan: Dar al-Nafa’is.

cAliyy Muhyi al-Din al-Qurrah Daghiyy & cAliyy Yusuf al-Muhammadiyy. 2005. Fiqh al-Qadaya al-Tibbiyyah al-Mucasirah. Beirut: Dar al-Basha’ir al-Islamiyyah.

Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Kali Ke-52. 1 Jul 2002. Menggugurkan Janin Pembawa atau Pengidap Penyakit Thalassaemia.

 

Internet

About Zika. Centers for Disease Control and Prevention (CDC). http://www.cdc.gov/zika/about/index.html (diakses pada 7 Oktober 2016).

Bayan Linnas Siri 68: Hukum-Hukum Berkaitan Virus Zika. http://muftiwp.gov.my/index.php/perkhidmatan-s/bl/1165-bayan-linnas-siri-68-hukum-hukum-berkaitan-virus-zika (diakses pada 7 Oktober 2016).

Bi Sha’n Mawduc Isqat al-Janin al-Mushawwah Khalqiyyan. Al-Majmac al-Fiqhiyy al-Islamiyy, Rabitat al-cAlam al-Islamiyy.http://www.themwl.org/Bodies/Decisions/default.aspx?d=1&did=148&l=AR(diakses pada 17 Oktober 2016).

Al-Ifta’: La Yajuz al-Ijhad Li al-Musabah Bi Firus Zika. Misr al-cArabiyyah.http://www.masralarabia.com/%D8%A7%D8%AE%D8%A8%D8%A7%D8%B1-%D9%85%D8%B5%D8%B1/964542-%D8%A7%D9%84%D8%A5%D9%81%D8%AA%D8%A7%D8%A1-%D9%84%D8%A7-%D9%8A%D8%AC%D9%88%D8%B2-%D8%A7%D9%84%D8%A5%D8%AC%D9%87%D8%A7%D8%B6-%D9%84%D9%84%D9%85%D8%B5%D8%A7%D8%A8%D8%A9-%D8%A8%D9%81%D9%8A%D8%B1%D9%88%D8%B3-%D8%B2%D9%8A%D9%83%D8%A7 (diakses pada 17 Oktober 2016).

Al-Ijhad Bacda Nafkh al-Ruh Maca Wujud Khuturah cAla al-Umm Wa Tashawwuhat Bi al-Janin. Dar al-Ifta’ al-Misriyyah. http://www.dar-alifta.org/AR/ViewFatwa.aspx?sec=fatwa&ID=11499 (diakses pada 17 Oktober 2016).

Dar al-Ifta’ al-Misriyyah. http://dar-alifta.org.eg/customerror.html?aspxerrorpath=/Ar/Viewstatement.aspx (diakses pada 17 Oktober 2016).

Guillain-Barre Syndrome. Healthline. http://www.healthline.com/health/guillain-barre-syndrome#Overview1 (diakses pada 10 Oktober 2016).

Facts About Microcephaly. Centers for Disease Control and Prevention (CDC).http://www.cdc.gov/ncbddd/birthdefects/microcephaly.html(diakses pada 10 Oktober 2016).

Kementerian Kesihatan Sahkan Kes Pertama Zika Di Malaysia. Berita Harian Online. 1 September 2016. http://www.bharian.com.my/node/188746 (diakses pada 7 Oktober 2016).

Kenyataan KPK 30 September 2016- Situasi Terkini Zika di Malaysia. Kementerian Kesihatan Malaysia. https://kpkesihatan.com/2016/10/01/kenyataan-kpk-30-september-2016-situasi-terkini-zika-di-malaysia-30/ (diakses pada 7 Oktober 2016).

Majmac al-Fiqh al-Islamiyy al-Duwaliyy. http://www.iifa-aifi.org/ (diakses pada 17 Oktober 2016).

Al-Majmac al-Fiqhiyy al-Islamiyy, Rabitat al-cAlam al-Islamiyy. http://www.themwl.org/ (diakses pada 17 Oktober 2016).

Questions About Zika. Centers for Disease Control and Prevention (CDC). http://www.cdc.gov/zika/about/questions.html (diakses pada 7 Oktober 2016).

Zika Virus. World Health Organization. http://www.who.int/mediacentre/factsheets/zika/en/ (diakses pada 7 Oktober 2016).

 

Tembual Peribadi

Dr. Maizatul Azma binti Masri. Pakar Obstetrics dan Gynecology (OnG), Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan (FPSK), Universiti Sains Islam Malaysia (USIM). 27 September 2016. (melalui panggilan telefon).

 

 

 

 

Disediakan oleh:

 

Prof. Madya Dr. Irwan bin Mohd Subri

Mohd Aizuddin bin Abd Aziz

Institut Pengurusan Dan Penyelidikan Sedunia (INFAD),

Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)

 

20 Oktober 2016 / 19 Muharram 1438

 

 



[1] Microcephaly adalah kecacatan kelahiran di mana kepala bayi adalah lebih kecil daripada yang dijangkakan berbanding jantina dan umur bayi yang sama. Bayi dengan microcephaly sering mempunyai otak yang lebih kecil yang mungkin tidak boleh dibangunkan dengan baik (Centers for Disease Control and Prevention (CDC).

[2] Sindrom Guillain-Barre adalah suatu keadaan yang jarang berlaku di mana sistem imun anda menyerang saraf anda, yang membawa kepada kelemahan otot dan juga lumpuh (Healthline).

 Institut Pengurusan Dan Penyelidikan Fatwa Sedunia (INFAD)
Universiti Sains Islam Malaysia, Bandar Baru Nilai, 71800, Nilai, Negeri Sembilan, MALAYSIA
Tel: +606-798 8590/8588/8413, Faks: +606-798 8891, Emel: This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it.