PENYELIDIKAN FIQAH BANJIR DI TEMERLOH PAHANG TITIK MULA PENYELIDIKAN FIQAH BENCANA DI MALAYSIA

Nilai, 5 Januari 2015 - Musibah banjir yang menimpa negara sejak pertengahan Disember 2014 mencatatkan jumlah mangsa banjir yang amat tinggi termasuklah beberapa kes kehilangan nyawa dan kerosakan harta benda serta banyak kemudahan awam. Badan-badan kerajaan, NGO dan antarabangsa telah digerakkan untuk memberikan bantuan kepada mangsa banjir dalam pelbagai bentuk bantuan seperti makanan, minuman, pakaian, kewangan, khidmat kesukarelawanan, kaunseling dan khidmat kesihatan.   

Kumpulan penyelidik Fiqah Banjir seramai lapan orang yang diketuai oleh Dr. Irwan bin Mohd Subri, Pengarah, Institut Pengurusan dan Penyelidikan Fatwa Sedunia (INFAD) USIM Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) pula menampilkan bantuan dalam bentuk yang unik kepada mangsa-mangsa banjir ini. Di samping, menyampaikan bantuan minuman, makanan, pakaian dan khidmat kesukarelawanan kepada mangsa-mangsa banjir yang ditempatkan di beberapa pusat pemindahan banjir di daerah Temerloh dan Maran, kumpulan penyelidik ini turut menjalankan penyelidikan pantas dan memberikan nasihat-nasihat keagamaan kepada mereka yang memerlukan.

Bersesuaian dengan misi USIM yang bertekad menjadi sebuah institusi ilmu terkehadapan dan peneraju ilmu baharu bagi menghasilkan inovasi yang mampu mentransformasikan negara, ummah dan manusia sejagat, penyelidikan pantas (action research) ini memfokuskan isu-isu keagamaan yang dihadapi oleh mangsa-mangsa banjir dari sudut akidah, fiqah dan kefahaman serta pelaksanaan ibadat ketika banjir.

Lawatan penyelidikan dan khidmat kesukarelawanan ke kawasan bencana di daerah Temerloh dan Maran ini telah dibuat bermula 1 hingga 4 Januari 2015. Beberapa responden kajian, terdiri daripada kalangan penghuni pusat penempatan banjir, anggota petugas dan sukarelawan yang ditemui, amat menyokong penyelidikan Fiqah Banjir yang telah dimulakan oleh kumpulan penyelidik INFAD, USIM. Penyelidikan ini adalah usaha awal dan perintis untuk mengetahui isu-isu fiqah dan akidah yang berlaku di pusat penempatan banjir. Pada masa hadapan diharapkan agar penyelidikan ini dapat menghasilkan manual atau modul panduan berkenaan permasalahan dan pengisian aktiviti keagamaan di pusat-pusat penempatan banjir untuk penghuni.

 

Menurut Dr. Irwan Mohd Subri, yang juga Pensyarah Kanan, Fakulti Syariah dan Undang-Undang, USIM, “Indonesia telah pun memulakan penyediaan modul dan panduan berkenaan Fiqah Bencana bagi mengatasi sebarang kekeliruan tentang isu-isu ibadat yang dialami oleh mangsa bencana alam seperti dalam perkara bersuci (taharah), solat, aurat, percampuran lelaki dan wanita, pengurusan jenazah, harta yang dijumpai, pelupusan ayat suci al-Quran dan banyak lagi”. Modul yang ingin dihasilkan pula mencakupi aspek yang sama tetapi mengambil kira suasana dan keperluan Malaysia.

Disediakan oleh: Wan Mohd Fazrul Azdi bin Wan Razali (FKP)

 Institut Pengurusan Dan Penyelidikan Fatwa Sedunia (INFAD)
Universiti Sains Islam Malaysia, Bandar Baru Nilai, 71800, Nilai, Negeri Sembilan, MALAYSIA
Tel: +606-798 8590/8588/8413, Faks: +606-798 8891, Emel: This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it.